BAHAYA LIBERAL

Article ini bertujuan memperingatkan umat Islam agar menyedari satu ancaman baru yang bakal menggugat aqidah kita dan masa depan agama mereka di Malaysia saat ini. Ancaman yang kita maksudkan ialah kemunculan pemikiran muktazilah moden atau neo-muktazilah yang dikenali dengan Islam liberal. Ancaman ini sangat halus dan mudah mempengaruhi pemikiran masyarakat kita, terutama yang tidak memiliki prinsip yang utuh.


Hari ini kita boleh melihat golongan neo-muktazilah atau Islam liberal ini semakin galak dan semakin rancak menjaja dan mencanang gagasan pemikiran liberal mereka dengan berselindung di sebalik tuntutan kebebasan dan hak asasi. Sukar dihidu, namun bisa dikenali dengan timbangan neraca iman dan taqwa.

Ancaman ini jika tidak ditangani dengan segera oleh semua pihak di kalangan umat Islam, nescaya akan menghakis kefahaman agama yang soheh di kalangan umat Islam dengan amat pantas sekali.

Hari ini mereka berdiri menyebarkan fikrah mereka dengan berani dan penuh gah.


Dengan bercakap atas nama mereka sebagai seorang muslim dan di atas platfom pertubuhan yang memakai nama Islam (seperti Sister In Islam dan sebagainya), golongan Islam liberal sememangnya lebih berbahaya dari pendakyah-pendakyah agama lain kerana suara mereka lebih mudah didengari oleh kaum muslimin. Hari ini, pemikiran islam liberal banyak didokong oleh golongan mahasiswa yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi.


1) Mengapa kita perlu mengenali islam liberal?


Menjadi kewajipan umat Islam mengenali jahiliyah di samping mengenali Islam. Jika mengenali Islam bertujuan mengamalkannya, mengenali jahiliyah pula adalah untuk mengelak darinya dan agar tidak tertipu dengan pendakyah-pendakyahnya. Hal ini telah dinasihati oleh Saidina Umar dalam satu ucapannya;

لَتَنْقَضَّ عرى الإسلام عروة عروة من نشأ في الإسلام ولم يعرف الجاهلية

“Akan terungkailah ikatan Islam satu-persatu dari seorang yang lahir/membesar di dalam Islam tetapi tidak kenal jahiliyah”.

Sebenarnya, melihat kepada tentangan yang amat hebat oleh ulama Islam dan pendokong-pendokong gerakan Islam terhadap ideologi tersebut sejak dulu hingga sekarang, maka untuk meredakan tentangan tersebut dan untuk mengelabui mata umat Islam mereka meletakkan istilah Islam di depan istilah Liberal itu dan membentuk satu istilah baru yang dipanggil “Islam Liberal”.


Namun, sebenarnya mereka bagaikan semut hitam yang bersembunyi di malam hari. Pendokong pemikiran Islam Liberal adalah penganut ideologi Sekular-Liberal yang mana matlamat mereka ialah menimbulkan keraguan terhadap kebenaran agama Islam di kalangan penganut-penganutnya sehingga akhirnya pegangan dengan agama dianggap tidak sesuai lagi di zaman moden hari ini.
Mereka akan membawa umat Islam untuk bersikap anti-Islam dan memusuhi ulama-ulamanya sebagaimana sikap orang-orang Barat hari ini terhadap agama Kristian dan paderi-paderi Kristian.


2) Pemikiran ini lahir dari barat?


Gerakan liberalisme dari sudut agama dipelopori oleh Martin Luther (1483-1546M) seorang tokoh Protestan disebabkan oleh penindasan dan keganasan gereja Katholik sebelum zaman Renaissance. Gerakan ini membebaskan penganut agama Kristian daripada kuasa gereja dari segi rohaniah ke atas individu dan membentuk mazhab baru bernama Protestan pada abad ke 16M.


Mereka berpegang pada prinsip mazhab Protestan yakni,


“Menjadi hak individu Kristian untuk membaca kitab suci dan mentafsirnya sendiri tanpa terikat dengan tafsiran paderi-paderi”.


Secara mudahnya, membenarkan agama ditafsir oleh semua golongan, meskipun individu itu tidak pernah mempelajari agama sedikitpun. Mereka melihat secara luas (bebas) yakni setiap insan mempunyai hak untuk menterjemah dan tafsir kitab dan seterusnya menjadikan pandangan dan pendapat mereka benar dan dianuti.

"Kenapa perlu rujuk ulama, sedang kita boleh tafsir sendiri?"

Hal ini sangat bahaya dan mudah mempengaruhi masyarakat.

Mereka akan mentertawakan golongan yang sentiasa merujuk pada ulama. Selalu bertanya pada ulama pada pandangan mereka ialah satu tindakan yang tidak wajar. Ulama atau islamist dianggap sebagai katak dibawah tempurung. Ulama dilihat pada pandangan mereka sebagai golongan yang menggunakan agama untuk kepentingan dunia.


3) Asas pemikiran islam liberal


Sebagaimana Liberalisme di Barat yang terbina di atas kebebasan individu (dari cengkaman agama) dan perasaan syak atau ragu terhadap agama, maka begitu juga dengan fahaman Islam Liberal. Fahaman Islam Liberal bertunjang akan kebebasan akal tanpa batasan ditambah pula dengan perasaan syak dan ragu terhadap Islam.

berikut adalah beberapa contoh pemikiran liberal. Baca dan perhatikan.


- tidak ada di dalam agama suatu yang dianggap kudus dan suci yang tidak boleh dikritik atau dipertikai.

- mereka lebih suka bertanya atau merujuk hal islam dari orang bukan islam. tidakkan ini jelas mengelirukan.

- tidak melihat islam itu secara syumul (semua aspek secara seimbang). Islam hanyalah agama dan tidak perlu dikaitkan dengan politik, ekonomi dan lain-lain.

- Mereka bersembunyi di sebalik hak kemanusiaan,

- melihat kelompok atau jemaah islam yang ada, sebagai golongan yang tidak berfikiran jauh dan cetek. Hanya tahu merujuk kepada kitab ulama lama yang tidak lagi relevan.

- golongan Islam Liberal meletakkan akal lebih tinggi dari wahyu.

- mereka akan hanya menyokong segelintir hujah ulama yang menyokong pendirian mereka dan menolak hujah ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah yang terkemuka dan menjadi rujukan.

- Bagi mereka, penerimaan terhadap wahyu hendaklah berasaskan kepada penilaian akal dan rasional.

- hujah mereka sebenarnya tidak bersetuju dengan hukum syariah seperti hukum talak. Namun mereka tidak mahu merujuk kepada golongan yang lebih arif. Lantas mentafsir dengan sendiri.

- Mereka akan mengeluarkan hujah yang akan membuatkan umat islam itu sendiri keliru dan mempersoalkan kebenaran islam itu sendiri.

- Mereka memandang bahawa golongan islamist adalah pemikiran yang lapuk dan tidak sesuai dengan arus kini.

- kemunculan golongan islamist yang menentang mereka dilihat sebagai kebangkitan yang sesat dan ketinggalan zaman dan berfikiran sempit.

- Golongan Islam Liberal tidak menzahirkan diri mereka sebagai orang yang menolak agama, tetapi berselindung disebalik gagasan mengkaji semula agama, mentafsir semula al-Quran, menilai semula as-Sunnah dan menapis semula hukum-hakam Syari’at dan Fiqh.

- Mereka menolak segala tafsiran yang dianggap lama dan kolot mengenai agama termasuklah dalam hal-hal yang telah menjadi Ijmak ulama.

- Mereka akan dilihat sentiasa memberi pendapat berbeza akan isu semasa. Hujah mereka kebiasaanya ialah hujah kritikan bukannya hujah membina.

- Bagi mereka, agama hendaklah ditundukkan kepada waqi’ (realiti) semasa sekalipun terpaksa menafikan hukum-hakam dan peraturan agama yang telah sabit dengan nas-nas Syarak secara qat’ie (putus).

- ulama tiada hak mentafsir sesuatu isu berlandaskan al-Quran. Boleh lihat bagaimana golongan ini mengatakan ulama sebagai "jurucakap tuhan". Ulama dipermainkan dan tidak dihormati.

- Jika terdapat hukum yang difikirkan tidak menepati zaman dan kemodenan maka hukum itu hendaklah ditakwilkan atau sebolehnya digugurkan. (Boleh lihat bagaimana mereka membenarkan isu-isu yang dilarang oleh ulama - contoh : isu pegang anjing)

- Mereka akan melihat mazhab dari konteks yang berlainan. Mereka akan cuba menunjukkan mereka mengeluarkan hujah dengan dalil yang disokong ulama mu'tabar terutama dari luar negara. (Mentafsir dan melihat dari konteks yang berlainan.)

- Mereka akan kelihatan seperti orang yang banyak membaca, dan mengakui mereka lebih banyak membaca dari orang lain.

- menciptakan keraguan terhadap ajaran-ajaran agama Islam yang sudah dapat diyakini kebenarannya tanpa ragu (musallamat), dan berusaha mengubah perkara-perkara yang diyakini kebenarannya dan pasti (yaqiniyat) menjadi perkara-perkara yang tidak pasti dan mengandung pelbagai kemungkinan (muhtamalat), yang dapat diambil atau ditolak, ditarik atau dilepas dan dapat mengikuti pendapat kanan atau kiri.

- Kebergantungan semata-mata kepada akal manusia bagi memandu kehidupan di dunia.

- Dualisme dalam memahami pelbagai realiti dan kebenaran. Contohnya; dualisme antara akal dan jasad, dan pemisahan antara kaedah rasionalisme dan empirisme.

- Bagi mereka iman itu tidak wajar diterjemah secara zahir. Perlu disembunyi agar menghormati agama lain. Meskipun di dalam sesuatu kedukan merendahkan martabat islam itu sendiri. Malah, ada yang sanggup mempertahankan hak mereka (non-muslim) untuk menghina islam.

- Golongan ini tidak sensitive apabila islam diperkotak-katikkan, atas asbab berfikiran terlalu terbuka.

- Islamist pada pandangan mereka dilihat sebagai golongan yang terlalu 'reactive' dan berfikiran cetek.

- Penekanan kepada unsur-unsur perubahan dalam kewujudan yang menayangkan pandangan alam (worldview) yang sekular.

- Hujah mereka dilihat kadang-kadang islamic dan kadang-kadang lagha dan tidak melambangkan individu islam yang sebenar. Mereka cuba menunjukkan diri mereka sebagai golongan yang pertengahan (tidak extremist dalam definisi mereka)

- Doktrin Humanisme iaitu jelmaan ideologi sekularisme yang memusatkan penilaian segala-galanya kepada fikiran manusia.

- Golongan ini memandang sistem khalifah itu tidak sesuai digunakan lagi dalam era ini.

- Memandang remeh karya ulama yang terdahulu dan lebih suka merujuk falsafah barat. Melihat karya ulama tidak lagi relevan pada masa ini.

- Sama ada mereka mengakui atau tidak, golongan Islam Liberal di mana-mana negara umat Islam hari ini mereka sememangnya telah dipengaruhi oleh cara berfikir Orientalis.

- Melalui politik, mereka akan sentiasa sokong kesamarataan tanpa mengira hak atau perjanjian yang telah dibuat.

- Mereka memahami prinsip keadilan sebagai sama rata, bukannya (meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya).

- Sasaran serangan mereka ialah terhadap tiga perkara yang mereka kesani menjadi faktor kekuatan umat Islam sejak zaman berzaman, iaitu

a) Al-Quran
b) As-Sunnah
c) Syari’at Islam dan Fiqh

- Mereka akan menggunakan perkataan yang hebat dan jarang digunakan, bagi menyokong hujah mereka yang salah. (pembaca dipengaruhi dengan gaya bahasa lantas setuju dengan hujah membuta tuli)

- “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran”. Berpegang pada semua agama ialah sama. Mereka tidak mengangkat tinggi diri dengan islam. Mereka akan dilihat 'bersederhana' dalam agama.

- golongan ini berpendapat bahawa kebebasan bersuara ialah dianggap sebagai kritikan dan wajar diterima meskipun ianya adalah penghinaan terhadap islam.


4) Contoh pendirian islam liberal dalam isu di Malaysia?

1) Orang-orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberi kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

2) Orang-orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan-perkataan suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.

3) Orang-orang Islam yang membayar zakat tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan untuk keperluan orang-orang bukan Islam.

4) Sepatutnya Islam tidak tersebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.

5) Memegang anjing tanpa keperluan adalah dibenarkan dan mereka lebih suka merujuk mazhab lain dan mengetepikan mazhab yang diamalkan di Malaysia. ( memahami pengambilan mazhab dari konteks berlainan. )

6) Mendesak agar diberikan hak kebebasan murtad untuk penganut Islam di Malaysia (Lina Joy)

7) Golongan Islam Liberal menentang penguatkuasaan undang-undang moral berteraskan agama kerana menurut mereka undang-undang tersebut melanggar kebebasan dan hak asasi manusia. Boleh lihat mereka mempertahankan agar rotan anak dikenakan tindakan undang-undang.

8) Menolak dan mempertikai hadis Nabi s.a.w. dengan mendakwa ia bercanggah dengan al-Quran. Mempunyai tafsiran tersendiri dan menolak tafsiran ulama. Isu murtad.

9) Melihat golongan LGBT sebagai fitrah manusia yang perlu diraikan. Bagi mereka golongan lgbt perlu dilayan bukan diubati.


5) Jadi bagaimana cara berfikir yang benar?


        Dari penjelasan tadi tentang sumber-sumber ilmu dan makrifah di dalam Islam kita dapat melihat bahawa para ulama Islam menerima akal sebagai salah satu sumber ilmu yang diakui di dalam Islam. Namun akal mempunyai batasan-batasan kemampuannya sebagaimana kata Imam as-Syafi’ie;

“Sesungguhnya akal mempunyai batasan yang menjadi penghujung kemampuannya sebagaimana penglihatan mempunyai batasan yang menjadi penghujung pandangannya”.

Kerana itu, ia tidak dapat berdiri sendiri dan perlu bersandar kepada wahyu.

Tidak ada pertentangan antara wahyu dan akal pada pandangan ulamak Islam sejak dulu hingga sekarang. Kedua-duanya saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam mencari kebenaran yang hakiki. Berkata Syeikh Mahmud Syaltut;

“Telah disepakati oleh para ulama’ bahawa dalil-dalil akli jika benar premise-premisenya (yakni benar/betul kenyataan atau dasar yang dijadikan asas penaakulannya) dan berakhir kepada keputusan yang bersifat hissi atau yang daruri (yakni yang lazim diterima oleh semua akal manusia sama ada orang biasa atau terpelajar tanpa perlu mencarinya melalui pengalaman dan pengamatan terlebih dahulu), maka ia memberi ilmu yang yakin dan dapat mencapai iman yang dituntut”.

Sungguhpun sumber-sumber rasional dan empirical ini sangat penting, namun tarafnya tetaplah di bawah sumber wahyu yang merupakan autoriti yang tertinggi.

Ilmu agama tidak boleh sewenang-wenangnya di ambil dari sesiapa saja. Ia mesti diambil dari para ulamak kerana mereka adalah orang yang berkeahlian dalam bidang agama dan merupakan pewaris para Nabi. Jika dalam bidang guaman kita boleh mengiktiraf para peguam sebagai rujukan kita, jika dalam bidang perubatan kita mengiktiraf para doktor, jika dalam bidang ekonomi kita mengiktiraf para ahli ekonomi dan begitu juga dalam bidang-bidang yang lain, maka kenapakah dalam bidang agama kita keberatan untuk mengiktiraf para ulamak dan menjadikan mereka sebagai tempat rujukan untuk memperolehi maklumat yang sah dan diperakui tentang agama dan Syari’at Allah.


Ilmuan Barat dan Orientalis walau bagaimana hebat sekalipun pengkajian mereka tentang Islam mereka tetap tidak dapat menyelami hakikat Islam yang sebenarnya kerana mereka tidak meyakininya di samping pemikiran mereka masih dibelenggu oleh dogma kristian dan sekular.


6) Kesimpulan?


Umat Islam hendaklah diajak supaya membina kehidupan berteraskan Sunnah Nabi dan Khulafa’ Rasyidin kerana ia menjadi benteng apabila berdepan dengan pelbagai kecelaruan pemikiran dalam dunia akhir zaman sebagaiman sabda Nabi s.a.w. :

"Sesungguhnya sesiapa yang masih hidup di antara kamu nescaya ia akan menyaksikan pertikaian yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah Khalifah-khalifah Rasyidin yang mendapat petunjuk selepasku. Gigitlah sunnah itu dengan gigi-gigi gerham kamu. Hendaklah kamu menjauhi dari perkara-perkara baru (yang menyalahi agama). Sesungguhnya setiap bid'ah adalah sesat."

(al hadis)

penulisan ini ditulis berdasarkan kefahaman ana yang cetek, dan merujuk kepada beberapa sumber rujukan kitab mahupun individu tertentu. Sebarang kekurangan dan kesilapan mohon ditegur dan dihindari.

Allahualam.